Kepada para isteri, jadikan cerita ini sebagai iktibar... Hormatilah suami anda ye...
MAZNAH (bukan nama sebenar), ibu lima anak dan isteri Bahari (bukan nama sebenar), seorang pesara. Hidup mereka tidak mewah, tetapi cukup segala-galanya. Bahari pula sering berulang- alik ke  hospital untuk menerima rawatan kerana menghidap penyakit kronik.
Suatu hari, dua adik lelaki Maznah datang ke rumahnya dan membawa berita gembira iaitu ingin mengajaknya menunaikan haji. Mereka berpendapat kakak mereka yang berpengalaman menunaikan haji,  tentu tahu selok-belok dan cara membuat haji dengan betul. Maznah bangga  mendengar pujian adiknya, namun kerana terpaksa menjaga suami, dia  serba salah dan agak keberatan.
“Kakak pernah pergi dulu, nanti apa pula kata abang Bahari.  Memanglah, kalau diikutkan hati, siapa yang tidak mahu pergi ke Tanah  Suci. Seribu kali pergi tidak puas lagi,” katanya dengan suara sugul.
Selepas dipujuk, Maznah lembut hati dan mahu mengikut mereka menunaikan haji untuk kali kedua.
Maznah menghantar namanya ke Tabung Haji tanpa pengetahuan suami dan  anak. Beliau menjalani rutin harian tanpa meminta izin suami. Apabila  tiba masa yang sesuai, dia akan memberi tahu suaminya.
Apabila tiba waktu panggilan dari Tabung Haji, Maznah mendapat surat mengarahkan dia mendaftar dan mengikuti kursus haji.Gembira bukan kepalang, beliau lantas memberitahu adik-adiknya.
Maznah langsung tidak terfikir untuk meminta kebenaran suaminya.  Namun, kegembiraan itu tidak lama apabila duit simpanannya hanya cukup  untuk pakej mengerjakan haji, sedangkan wang poket tidak ada.
Namun akalnya panjang, dia teringatkan anak-anaknya lalu mengumpulkan  mereka di rumah. Anak-anak yang tidak tahu hujung pangkal pulang dalam  keadaan tertanya-tanya.
“Sebenarnya, mak minta kamu berkumpul sebab nak minta tolong.  Permohonan untuk pergi haji sudah diluluskan, jadi mak nak minta bantuan  kewangan untuk duit poket dan kecemasan. Tambang pakej sudah sedia.  Kalau hendak mengharapkan ayah kamu, dia sakit,” katanya. Semua yang  mendengar terkejut, terutama suaminya.
“Bila masa pula kamu tanya saya hendak pergi haji,” tanya Bahari dengan sedikit berang.
“Saya tanya atau tidak, sama juga. Lagipun awak sakit, nanti menjejaskan kesihatan awak pula,” jawab Maznah kepada suaminya.
“Bukankah mak sudah pergi dulu? Buat apa nak pergi banyak kali sebab  yang wajibnya sekali saja. Ayah sudah beri keizinan ke belum,” tanya  anak sulungnya.
“Ala, kalau tanya ayah kamu bukannya dia hendak bagi. Baik mak tak payah tanya,” balasnya.
“Tak boleh macam itu. Mak kena dapatkan keizinan ayah dulu. Lagipun  buat apa nak pergi, sedangkan ayah lebih memerlukan mak di sini.  Bukankah ayah sakit?” katanya.
“Alah, kakak dengan abang ini, itupun nak berkira. Kan mak hendak  pergi beribadat, hulur sajalah sikit duit poket.” kata anak bongsunya.
Bahari sebagai ayah tidak dapat bersuara kerana tidak mahu  membebankan fikirannya. Hatinya kecewa dengan sikap Maznah yang  membelakangkan dirinya sebagai suami. Beliau hanya mampu mendiamkan diri  dan cuba menahan rasa marah dan hati terluka.Beliau tidak menyangka Maznah sanggup bertindak di luar  pengetahuannya, malah langsung tidak mempelawa untuk bersama menunaikan  haji.
Anak-anaknya pula bertengkar sesama sendiri untuk menguatkan hujah  masing-masing. Sebagai ibu, Maznah tidak meleraikan mereka, sebaliknya  turut sama bertegang leher untuk meminta duit daripada mereka.
“Mak bukannya pergi suka-suka,” tegas Maznah. Bahari  menggeleng-gelengkan kepala kerana tahu anak-anaknya bukannya mewah  sangat dan gaji pula hanya cukup untuk menyara keluarga saja. Mereka ada  masalah tersendiri.
“Mak, tolonglah faham masalah kami. Saya bukannya bergaji besar dan  ada empat anak untuk ditanggung. Saya bukan tak mahu beri, tapi mak  pergi tak kena masa.,” kata anaknya.
Akhirnya tiada kata putus dicapai, sebaliknya anak-anaknya pula  bermasam muka. Bagi Bahari, tiada apa yang perlu diceritakan. Dia  seperti tidak wujud bagi isterinya kerana Maznah sanggup memperlakukan  dia begitu. Beliau berserah kepada Allah dan memohon diberi petunjuk kepada  isterinya. Dia sudah tidak ada upaya untuk menasihati isterinya yang  keras kepala.
Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dan doa orang yang teraniaya pasti  ditunaikan. Belum sempat Maznah pergi, beliau ditimpa sakit yang tidak  diketahui puncanya iaitu terlantar tidak berdaya, mulutnya senget  sebelah dan tidak dapat bercakap dengan jelas serta badannya tidak  bergerak bagaikan orang lumpuh.
Bahari pula yang terpaksa menjaga Maznah dengan setia. Beliau  walaupun terguris dengan perbuatan isterinya, tidak mahu mengabaikan  tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga. Bahari sedia mengampunkan dosa  isterinya jika perkara buruk terjadi.
Melihatkan Bahari ikhlas menjaganya, Maznah terharu dan menyesal di  atas perlakuannya. Itulah balasan yang akan diterima oleh seorang isteri  yang tidak menghormati suami.
Niatnya untuk beribadat kepada Allah, tetapi jika tidak diiringi dengan keizinan suami, dosa balasannya.


No comments:
Post a Comment