SETIAP kali muncul  tarikh 1 April, rakyat negara ini termasuk umat Islam beriya-iya  menyambut ‘April Fool’ dengan menggemparkan sanak saudara dan rakan  taulan.
Selain `Hari Valentine’  yang sudah sinonim dengan masyarakat Islam negara ini tetapi lebih  kepada soal berkasih- sayang, `April Fool’ pula menjurus kepada  berseloroh.
Bagaimanapun, ada cerita  sedih kepada masyarakat Islam di sebalik `April Fool yang perlu  dijadikan renungan dan dihentikan sambutannya.
Adalah dipercayai sambutan `April Fool’ mula dirayakan ketika kejatuhan Kerajaan Islam di Sepanyol.
Setelah bertapak berkurun-kurun lamanya di Granada, Sepanyol, kerajaan Islam akhirnya runtuh diserang tentera Kristian.
Penduduk Islam di Moors, Sepanyol terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri.
Tentera Kristian  bagaimanapun tidak berpuas hati dan berusaha untuk menghapuskan penganut  Islam dari bumi Sepanyol, justeru, mereka membuat helah.
Mereka memaklumkan  penduduk Muslim boleh berlayar keluar dari bumi Sepanyol dengan selamat  bersama-sama barangan mereka dengan menggunakan kapal di pelabuhan.
Orang Muslimin yang risau sekiranya tawaran itu suatu penipuan pergi ke pelabuhan untuk melihat kapal yang dimaksudkan.
Setelah berpuas hati,  mereka membuat persiapan untuk bertolak. Keesokannya (1 April), mereka  mengambil semua barangan yang telah dikemaskan lalu menuju ke pelabuhan.
Pada masa itulah pihak Kristian mengambil kesempatan menggeledah dan membakar rumah penduduk Islam.
Penganut Islam juga tidak sempat menaiki kapal kerana semuanya musnah dibakar.
Pihak Kristian kemudian  menyerang kaum Muslimin dan membunuh kesemuanya, tidak kira lelaki,  perempuan, serta anak kecil. Peristiwa berdarah yang meyedihkan itu  kemudiannya diraikan tentera Kristian.
Keraian ini akhirnya dirayakan setiap tahun bukan saja di Sepanyol tetapi juga di seluruh dunia sebagai `April Fool’s Day’.
Apa yang pasti setiap  kali menjelang 1 April, sesetengah orang Islam begitu taksub dengan  budaya `pandang ke Barat’ menjadi begitu sibuk sekali dengan kepala  mereka penuh dengan senarai mangsa untuk dipermain-mainkan.
Kepala mereka juga ligat  merangka bentuk ‘penganiayaan’ yang bakal dilakukan demi memastikan  mereka puas melihat muka mangsa gurauan `April Fool’ mereka merah padam  kerana dipermain-mainkan.
Bagaimanapun, kadang kala lawak `April Fool’ yang dilakukan boleh mencetuskan pergaduhan dan penyesalan yang berpanjangan.
Malah, mengikut e-mel  yang diterima penulis, seorang suami yang jahil mengenai agama, telah  mengucapkan, “Aku ceraikan kau dengan talak tiga” pada isterinya dengan  niat untuk melawak.
Isterinya yang pada mulanya terpinga-pinga terus meraung apabila suami dengan muka selamba kemudiannya mengucapkan `April Fool’.
Selepas itu, giliran  suami pula meraung apabila diberitahu talak yang dilafazkan secara  bergurau itu sebenarnya sudah pun jatuh dan dikira sah.
Apa yang menyedihkan  ialah umat Islam di negara ini mudah mengingati sambutan pelik  masyarakat bukan Islam terutama Barat tetapi lupa mengenai hari  kebesaran hari di dalam Islam.
Berapa ramaikah antara  kita menyedari kita sebenarnya baru memasuki tahun Islam yang baru pada  15 Mac lalu. Kita kini di tahun 1423 Hijrah!


No comments:
Post a Comment