Salam semua...
Kali ini saya ada entry menarik yang ingin dikongsi. Apabila membaca artikel menarik berkenaan Pengasas Bank Al-Rajhi ini yang sebenarmya seorang jutawan, membuatkan saya insaf sangat-sangat. Malah saya juga amat kagum dengan beliau. Mampukah kita menjadi seperti beliau? Ikuti temubual seseorang bersama beliau...
Latar belakang :
Sulaiman Al-Rajhi, merupakan seorang dermawan yang
terkenal di dunia.
Beliau adalah pengasas Bank Al-Rajhi, bank Islam terbesar di dunia, dan salah satu daripada syarikat terbesar di Arab Saudi.
Sehingga 2011, kekayaan beliau telah
dianggarkan oleh majalah Forbes, bernilai sebanyak AS$ 7.7 bilion
sekali gus disenaraikan sebagai orang ke-120 yang terkaya di dunia.
Yayasan Saar milik beliau adalah sebuah organisasi amal yang terkenal di negara tersebut.
Keluarga Al-Rajhi dianggap sebagai
salah satu daripada keluarga kaya yang BUKAN daripada keluarga diraja,
dan mereka adalah antara dermawan terkemuka di dunia.
Walaupun Al-Rajhi adalah seorang
jutawan, tetapi beliau memilih untuk menjadi ‘miskin’ sehinggakan beliau
tidak mempunyai sebarang wang dan juga saham yang dimiliki beliau
sebelum ini.
Keadaan tersebut terjadi apabila
beliau memindahkan kesemua aset yang dimiliki kepada anak-anak beliau
dan mendermakan aset-aset yang selebihnya.
Bagi menghargai jasa beliau terhadap
dunia Islam, termasuk mengasaskan bank Islam terbesar dunia dan juga
segala usaha yang dijalankan untuk membasmi kemiskinan, Al-Rajhi telah
dipilih untuk menerima Anugerah Antarabangsa Raja Faisal atas jasa
beliau kepada Islam.
Dalam satu wawancara yang dibuat
oleh Muhammad Al-Harbi dari Al-Eqtisadiah Business Daily, Al-Rajhi
menceritakan tentang bagaimana beliau mampu meyakinkan ketua-ketua bank
di dunia, termasuk Bank of England, hampir 30 tahun lalu, bahawa bayaran
‘faedah’ adalah sesuatu yang haram bagi kedua-dua agama iaitu Islam dan
Kristian, dan bank secara Islam adalah penyelesaian yang terbaik bagi
menaikkan taraf ekonomi dunia
Kisah Al-Rajhi berkisarkan tentang bagaimana seseorang itu meraih kekayaan dari bawah.
Beliau terpaksa melalui kesusahan
ketika beliau kecil sebelum menjadi kaya, dan kemudiannya meninggalkan
segala harta yang ada setelah mengecapi kejayaan.
Al-Rajhi masih lagi aktif dalam bekerja walaupun usia beliau telah mencecah lebih daripada 80 tahun.
Beliau memulakan tugas harian sejurus selepas solat Subuh dan terus bekerja hingga selepas solat Isyak.
Beliau kini sedang memberikan
tumpuan terhadap Yayasan SAAR, dengan berulang-alik di negara-negara
Arab bagi menguruskan segala hal-hal yang berkaitan dengan yayasan
tersebut.
Beliau sering membawa diari kecil
untuk mencatatkan aktiviti harian beliau dan sentiasa memastikan tidak
akan terlepas dari satu aktiviti pun.
Al-Rajhi juga merupakan seorang yang amat berjaya dalam apa jua bidang yang beliau ceburi.
Selain daripada mengusahakan bank
Islam terbesar dunia, beliau juga telah mengasaskan ladang binatang
ternakan yang terbesar di Timur Tengah.
Daripada segi perladangan, beliau
telah menjalankan banyak eksperimen ternakan secara organik di
negara-negara Arab, termasuk perladangan udang Al-Laith. Beliau juga
turut mengasaskan perniagaan hartanah dan juga beberapa lagi pelaburan.
Temubual:
Sheikh Suleiman, adakah anda kini telah menjadi miskin semula?
Ya. Kini apa yang saya miliki
hanyalah pakaian-pakaian saya. Saya telah membahagikan harta saya kepada
anak-anak dan juga mendermakan selebihnya untuk menjalankan
projek-projek amal. Ini bukanlah sesuatu yang aneh bagi saya. Kedudukan
kewangan saya kini telah menjadi kosong sebanyak dua kali dalam hidup
saya. Jadi, saya amat faham akan keadaan ini. Namun, kini perasaan itu
dipenuhi dengan kegembiraan dan juga ketenangan. Sememangnya saya yang
memilih untuk menjadi miskin.
Mengapa berbuat begitu?
Segala kekayaan dimiliki oleh Allah
s.w.t, kita hanyalah ditugaskan untuk menjaga kekayaan tersebut. Ada
beberapa sebab mengapa saya memilih untuk memilih jalan ini. Antara
sebab-sebab utamanya adalah saya perlu menjaga sahabat-sahabat Islam dan
juga anak-anak saya. Ia adalah antara perkara yang paling penting dalam
hidup. Saya juga tidak suka untuk membuang masa di mahkamah hanya
kerana ada antara mereka yang tidak bersetuju dengan jumlah harta yang
diwariskan kepada mereka. Terdapat banyak contoh di mana anak-anak mula
berpecah hanya kerana harta yang kemudiannya menghancurkan syarikat.
Negara ini telah banyak kehilangan syarikat-syarikat besar kerana
perbalahan harta yang boleh diselesaikan jika kita mencari jalan
penyelesaian yang lebih berkesan. Selain daripada itu, setiap umat Islam
perlu bersedekah sebagai bekalan pahala di akhirat kelak, Jadi, saya
lebih suka jika anak-anak saya mencari kekayaan sendiri daripada
bergantung dengan saya.
Adakah Sheikh mempunyai banyak masa terluang setelah membahagikan kesemua harta?
Seperti yang telah saya maklumkan
tadi, saya masih lagi bekerja keras untuk mendapatkan lebih derma. Saya
telah bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menjayakan projek ini.
Secara kebiasaanya, umat Islam sering membahagikan satu per tiga ataupun
suku daripada kekayaan mereka untuk bersedekah yang hanya akan
diberikan setelah mereka meninggal dunia. Namun, bagi saya, saya mahu
mula bersedekah ketika saya masih hidup. Jadi, saya telah membawa
anak-anak saya ke Mekah pada hujung bulan Ramadhan dan memberitahu
mereka idea saya. Mereka bersetuju terhadap idea tersebut. Saya telah
meminta bantuan daripada agensi-agensi yang berkaitan untuk membahagikan
kesemua harta saya termasuk saham dan juga hartanah kepada anak-anak
dan juga untuk didermakan. Kesemua anak-anak saya berpuas hati terhadap
inisiatif saya dan mereka kini sedang menguruskan segala harta yang saya
berikan kepada mereka.
Berapa banyak harta yang dibahagikan kepada anak-anak dan juga untuk didermakan?
Beliau tergelak tanpa memberi sebarang jawapan.
Apakah perasaan Sheikh terhadap kesemua projek yang sedang dijalankan?
Saya ingin menegaskan bahawa
terdapat beberapa faktor yang saya ambil sebelum melakukan sebarang
pelaburan. Eksperimen yang saya lakukan terhadap pertukaran wang adalah
salah satu daripada sebab mengapa saya mengasaskan bank. Ketiadaan bank
Islam juga menjadi antara sebab mengapa saya mula mengasaskan Bank
Al-Rajhi, yang kini merupakan bank Islam terbesar di dunia.
Saya mulakan eksperimen saya dengan
membuka pejabat di Britain dimana kami mula memperkenalkan sistem
perbankan Islam ke peringkat yang lebih besar. Eksperimen tersebut
kemudiannya mula berkembang dan ia mula mendapat sokongan daripada
ulama-ulama Saudi pada ketika itu. Saya masih ingat lagi bagaimana
permohonan saya untuk mendapatkan lesen untuk membuka bank tidak
diterima pada mulanya. Ini adalah kerana pihak British tidak memahami
apa-apa pun tentang sistem perbankan Islam.
Saya kemudiannya pergi ke London dan
berjumpa dengan Pengurus Bank of England dan dua daripada pegawai kanan
beliau. Saya memberitahu mereka bahawa penggunaan faedah adalah haram
bagi Islam dan juga Kristian dan kebanyakan daripada mereka sanggup
menyimpan wang mereka di dalam kotak di rumah daripada menyimpan di
dalam bank. Saya cuba untuk meyakinkan mereka bahawa (jika mereka mula
membuka bank Islam) ini mampu menaikkan taraf ekonomi dunia. Mereka
akhirnya bersetuju untuk mula membuka bank-bank Islam.
Saya kemudiannya mula mengembara ke
serata dunia di bahagian Timur dan Barat, dan berjumpa dengan
ketua-ketua bank negara di beberapa buah negara dan memberitahu mereka
bagaimana ciri-ciri yang terdapat dalam dunia ekonomi Islam. Kami mula
bekerja dan mencapai kejayaan di negara-negara Arab dan melaksanakan
perbankan Islam di London, saya kemudiannya berjumpa dengan Mufti Besar
Sheikh Abdul Aziz bin Baz dan Sheikh Abdullah bin Humaid, dan
memberitahu mereka tentang rancangan saya bahawa : ‘Kita mampu, dengan
izin Allah, memajukan perbankan Islam. Mereka memuji saya atas inisiatif
yang saya jalankan.
Dari situlah kami mula mengusahakan
Bank Al-Rajhi seperti mana yang anda dapat lihat hari ini. Bagi projek
Ladang Ternakan Al-Watania pula, saya mula mendapat inspirasi untuk
menjalankan projek tersebut apabila melawat ladang ternakan di luar
negara. Saya dapati bahawa cara mereka menyembelih adalah salah. Saya
kemudiannya mengambil keputusan untuk melabur dalam bidang ternakan atas
nama Islam dan negara. Saya tetap menjalankan projek tersebut walaupun
membuat pelaburan dalam industri ternakan adalah sesuatu yang agak
berisiko pada masa tersebut. Kini, Al-Watania telah menjadi salah satu
daripada projek mega di Saudi.
Syarikat tersebut mendapat 40
peratus daripada saham di negara-negara Arab, dan ayam-ayam Al-Watania
diberikan makanan yang cukup dan disembelih dengan cara yang halal
menurut undang-undang syariah.
Walaupun dengan semua kekayaan yang dimiliki, mengapa syeikh tidak mempunyai satu pun kapal terbang sendiri?
Saya ada banyak kapal terbang,
tetapi kesemuanya dimiliki oleh syarikat-syarikat penerbangan tertentu.
Saya memilikinya setiap kali saya membayar tiket penerbangan untuk ke
satu-satu destinasi (gurauan). Saya sering terbang dengan kadar kelas
ekonomi kerana Allah tidak memberikan kita harta untuk ditunjuk-tunjuk.
Bagaimana pula dengan hobi syeikh?
Saya tidak mempunyai sebarang hobi
yang khusus. Bagaimanapun, saya suka mengembara di padang pasir. Saya
tidak pernah mengambil pakej percutian di negara-negara lain selain dari
Saudi.
Ketepatan masa Al-Rajhi
Wawancara ini telah menunjukkan
bagaimana disiplin Al-Rajhi dalam menepati masa. “Pada awal karier saya
dalam industri, saya mempunyai beberapa perjumpaan dengan beberapa
syarikat besar di Eropah. Saya masih ingat lagi kisah dimana saya
terlambat selama beberapa minit dalam satu perjumpaan dengan salah
seorang pegawai besar sebuah syarikat.
Walaupun hanya beberapa minit,
beliau tidak mahu meneruskan perjumpaan tersebut. Selepas kejadian
tersebut, setelah projek kami mula berkembang, pegawai yang sama pula
lambat untuk berjumpa dengan saya, jadi, saya pula yang tidak mahu
meneruskan perjumpaan tersebut. Saya sering membawa kertas untuk menulis
segala perjumpaan dan urusan dan sentiasa memastikan agar saya sering
menepati masa walau apa pun.”
Al-Rajhi berkata lagi: Saya amat
menepati segala perkara yang diterapkan dalam Islam sepanjang hidup
saya. Saya pernah mendapat undangan daripada kerajaan Arab untuk
menghadiri satu persidangan yang berkaitan dengan pelaburan.
Kemudiannya, dalam persidangan yang sama, saya dijemput untuk mengambil
bahagian dalam majlis makan malam mereka, saya dapati bahawa antara
aktiviti yang dijalankan ketika majlis tersebut adalah bertentangan
dengan ajaran Islam.
Saya kemudiannya keluar dari majlis
makan malam tersebut. Kemudian, Abdul Aziz Al-Ghorair dari UAE turut
serta bersama saya. Tidak lama selepas itu, menteri yang
bertanggungjawab terhadap persidangan tersebut datang kepada kami dan
kami mula menerangkan kepada beliau bahawa aktiviti yang dijalankan di
majlis tersebut adalah bertentangan dengan budaya Islam. Beliau
kemudiannya berkata bahawa aktiviti-aktiviti di majlis tersebut akan
dibatalkan. Apabila mereka membatalkan aktiviti tersebut, kami kembali
menyertai majlis tersebut.
Penyelesaian Masalah
Al-Rajhi berkata: Pada satu masa,
salah satu daripada kilang yang diuruskan oleh anak saya habis dijilat
api. Apabila dia datang untuk memaklumkan perkara tersebut kepada saya,
saya memberitahu: Sebut Alhamdulillah. Saya meminta anak saya supaya
tidak membuat sebarang laporan tentang kerugian yang dialami bagi
meminta pampasan daripada pihak berkuasa.
Sebaliknya, pampasan yang diberikan
oleh Allah adalah lebih penting bagi kita. Assam Al-Hodaithy, Pengurus
Kewangan bagi syarikat Ternakan Al-Watania berkata: “Apabila kilang
tersebut terbakar, kami telah membuat keputusan untuk tidak menyakiti
hati Al-Rajhi dengan memberitahu beliau tentang apa yang terjadi.
Kami kemudiannya berjumpa dengan
beliau keesokan harinya dan memberitahu akan perkara yang terjadi,
beliau mengarahkan kami untuk berpindah ke tempat lain dan membersihkan
segala kerosakan sehingga semuanya dibaiki.” Perkara yang sama terjadi
di satu lagi projek Al-Watania di Mesir. Syarikat tersebut kerugian
kira-kira SR10 juta Pound Mesir.
Apabila pegawai projek tersebut
menghubungi Al-Rajhi untuk memberitahu perkara tersebut, beliau terkejut
apabila Al-Rajhi menjawab dengan menyebut: “Alhamdulillah.”
Wednesday, June 6, 2012
Sunday, June 3, 2012
Tazkirah : Bertakbirlah dengan nada lembut kerana Takutkan Allah...
Sama-samalah kita renung-renungkan diri kita... Tazkirah dan ingatan yang baik disampaikan oleh Ustaz Idris Sulaiman.
Satu lagi, sejuk je hati tengok Ustaz ni... Kan..kan...kan?
Subscribe to:
Posts (Atom)
Pukul Berapa Dah?
Digital Clock Islamic Ornamental Button