Saturday, December 1, 2012

JOURNEY 2: HSG

Alhamdulillah tanggal 26 Nov pukul 3.30 petang akhirnya saya selamat menjalani ujian HSG.
Sebelum melaluinya, seriously saya memang sangat- sangat takut. Pelbagai pengalaman mengerikan yang saya baca. Ada yang kata sakitnya10 kali lebih sakit dari senggugut, ada yang kata sakit sampai berguling-guling malah ada yang kata sakitnya macam kena tikam... Adushh...ngerinya..
Pun begitu saya kuat juga semangat untuk meneruskan ujian HSG. Dalam hati cuma fikir belum ada yang sampai pengsan semasa menjalani ujian ini dan pastinya sakit bersalin akan lebih sakit lagi. Saya hanya serahkan semuaNya kepada Allah swt moga saya selamat menjalaninya tanpa sebarang masalah.
Ok balik semula kepada cerita saya tadi. Bila sampai saja di Columbia Asia saya terus mendaftar dan kemudiannya nurse membawa saya ke bilik radiologist. Sambil tu dalam hati tak putus-putus berdoa, berselawat dan berzikir agar dipermudahkan semuanya. Semasa menunggu nurse tiba- tiba memberitahu doktor yang akan menjalankan ujian itu adalah lelaki. Terkejut juga pada mulanya kerana saya menyangkakan Dr Norshida yang akan melakukan ujian itu. Nurse memberi peluang saya untuk memilih samada meneruskan atau membatalkan ujian itu dan membuat ujian itu di hospital lain. Selepas berbincang dengan suami, suami meminta saya memembuat ujian itu di tempat lain saja yang ada doktor wanita. Saya serba salah. Jika saya batalkan bermakna saya terpaksa menunggu lagi bulan depan dan sengsara saya takkan habis. Untuk meneruskan pula saya tak sanggup doktor lelaki yang melakukannya. Saya cuba bertanya nurse adakah Dr Norshida memang tak boleh menjalankan prosedur itu ke atas saya.  Mungkin kesian dengan saya, nurse itu memberitahu dia akan cuba bertanya kepada Dr Norshida. Saya berdoa moga Dr Norshida dapat membantu saya sekurang-kurangnya dia dapat bersama semasa prosedur itu dijalankan pun sudah cukup baik.
Alhamdulillah... Akhirnya Dr Norshida bersetuju membantu walaupun dia kelihatan agak sibuk dan tergesa-gesa. Saya memohon maaf kepada Dr Norshida kerana menyusahkannya pada hari itu namun, Dr Norshida masih lagi boleh tersenyum kerana dia turut memahami kenapa saya memerlukannya.
Maka, prosedure pun bermula walaupun agak lewat sedikit. Saya diarahkan berbaring di atas katil besi dan menunggu lebih kurang 15 minit sebelum Dr Norshida datang. Saat mendebarkan bermula. Saya daiarahkan oleh Dr norshida mengangkang seperti ingin bersalin. Dia mengeluarkan peralatan-peralatannya. Dalam keadaan berbaring itu saya tidak dapat memerhatikan dengan jelas apakah peralatan-peralatan itu dan saya pun tak ingin sangat tahu kerana saya sangat takut pada ketika itu. Saya cuba  bersalawat dan berzikir. Saya berdoa agar prosedur itu berjalan dengan mudah.
Dr. Norshida memberi isyarat dia akan mula memasukkan alat-alatannya ke dalam anu saya. Ketika dia memasukkan peralatan-peralatan itu saya tidaklah merasa sakit cuma kurang selesa tetapi sangat terkawal. Kemudian bermulalah cecair kontras atau dye dimasukkan pula. Saat itu saya mula merasakan ketegangan di ari-ari dan ketika cecair itu mengalir kesakitan bertambah kuat. Dr. Norshida menenangkan saya. Saya tidak pernah merasakan senggugut ketika period dan saya tertanya-tanya beginikah rasanya sakit senggugut? Yang peliknya gambar x-ray tidak berada di bilik itu sebaliknya di bilik sebelah jadi saya tidak dapat melihat bagaimana aliran dye itu ke dalam rahim saya. Apabila cecair dimasukkan nurse terpaksa berlari keluar melihat hasil x-ray dan kembali masuk ke bilik. Nurse memberitahu dye itu tidak mengalir sepenuhnya. Dr. Norshida membuat percubaan kali kedua. Saya terpaksa menahan sakit sekali lagi. Nurse kembali berlari keluar. Kali ini seorang radiologist lelaki membuka pintu dan berkata sesuatu kepada Dr. Norshida di balik pintu. Sepertinya ada masalah lagi. Dia mengarahkan Dr Norshida membentulkan cara kendaliannya. Mungkin radiologist itu yang sepatutnya melakukan prosedur itu ke atas saya kerana nampaknya seperti dia pakar apabila memberikan arahan kepada Dr. Norshida. Saya sangat risau adakah rahim saya yang bermasalah ataupun kendalian Dr Norshida yang tidak betul. Dr Norshida mencuba lagi untuk kali ketiga. Saya berdebar-debar dan berdoa agar dipermudahkan kali ini. Ketika dye itu dimasukkan untuk kali ketiga saya merasa sakit yang lebih kuat dari percubaan pertama dan kedua sehingga saya terpaksa memegang peha saya dalam keadaan menggigil. Saya memberitahu doktor yang saya merasa sangat sakit. Seperti ingin meletup rasanya. Dr. Norshida menenangkan saya. Radiologist lelaki itu muncul lagi dan memberitahu 'oklah cukuplah sampai situ'. Saya tertanya-tanya apakah maksudnya. Adakah memang ada 'something wrong' dan tak boleh buat apa-apa lagi atau semuanya ok.
Selesai sahaja prosedur itu dijalankan Dr Norshida membekalkan ubat tahan sakit dan antibiotik. Katanya sakit akan berulang dalam beberapa jam akan datang. Keputusan HSG hari itu saya tidak ketahui lagi kerana Dr Norshida akan berbincang mengenainya pada temujanji akan datang pada 8 Disember nanti. Diharap keputusannya nanti berbaloi dengan rasa sakit yang saya alami. Moga tiada saluran yang tersumbat. Amin...
Alhamdulillah... selepas pulang saya langsung tidak merasai sakit malah ubat tahan sakit yang dibekalkan tidak saya makan langsung kecuali antibiotik yang wajib dihabiskan. Pendarahan pun tidak banyak dan berakhir selepas 4 hari. Sekarang ni berdebar menunggu keputusannya pula...

Tuesday, November 20, 2012

JOURNEY 1: COLUMBIA ASIA BALAKONG

Pada tanggal 19 Nov akhirnya dapat saya kumpul kekuatan untuk pergi melakukan rawatan kesuburan... Kali ini saya bertekad walaupun jauh di sudut hati rasa fobia untuk bertemu doktor masih menghantui diri. Tapi sampai bilakan saya nak terus layan perasaan takut aku ni kan?Takpe demi zuriat saya akan tempuhi jua.. Doakan moga usaha saya ini membuahkan hasil..
Hospital Columbia Asia menjadi pilihan saya kerana berdekatan dengan rumah. Saya sampai di hospital dalam pukul 11 pagi. Dengan ditemani rakan baik, Kak Ya saya melangkah kaki ke dalam hospital yang bagiku agak menyenangkan juga dengan layanan baik yang diberikan oleh staf-staf di situ serta suasana hospital yang agak mendamaikan. Amat berbeza dengan berada di Hospital Kerajaan. Sedikit sebanyak ianya dapat menghilangkan rasa takut saya.
Alhamdulillah... hari itu saya dapat bertemu dengan seorang doktor wanita yang bagi saya sangat baik dan ramah iaitu Dr Norsyida. Banyak perkara yang kami bincangkan (tak perlulah diceritakan di sini). Selepas itu doktor melakukan TVS untuk memeriksa sebarang keabnormalan pada rahim. Alhamdulillah doktor kata rahimku ok cuma aku perlu melakukan ujian HSG pula untuk pemeriksaan lebih terperinci bagi memastikan tiub fallopio saya tersumbat atau tidak. Oh..tidakkk! Inilah yang sebenarnya yang paling menakutkan saya. Melalui pembacaan saya kebanyakan orang yang telah melakukannya mengatakan ujian HSG ini agak menyakitkan. Namun ada juga yang kata tak sakit. Ya Allah... jadikanlah aku di antara insan2 yang tidak merasai sakit itu. Amin..
Saya dijangka akan menjalani ujian HSG ini pada minggu depan pada 26 Nov pukul 2.30 petang. Pada semua doakan saya dapat melaluinya dengan selamat ye... Nanti saya akan ceritakan pengalaman saya menjalani ujian ini di entry akan datang k...

Wednesday, June 6, 2012

Kisah Pengasas Bank Al Rajhi...

Salam semua...
Kali ini saya ada entry menarik yang ingin dikongsi. Apabila membaca artikel menarik berkenaan Pengasas Bank Al-Rajhi ini yang sebenarmya seorang jutawan, membuatkan saya insaf sangat-sangat. Malah saya juga amat kagum dengan beliau. Mampukah kita menjadi seperti beliau? Ikuti temubual seseorang bersama beliau...


  
Latar belakang :
 
Sulaiman Al-Rajhi, merupakan seorang dermawan yang terkenal di dunia.
Beliau adalah pengasas Bank Al-Rajhi, bank Islam terbesar di dunia, dan salah satu daripada syarikat terbesar di Arab Saudi.
Sehingga 2011, kekayaan beliau telah dianggarkan oleh majalah Forbes, bernilai sebanyak AS$ 7.7 bilion sekali gus disenaraikan sebagai orang ke-120 yang terkaya di dunia.
Yayasan Saar milik beliau adalah sebuah organisasi amal yang terkenal di negara tersebut.
Keluarga Al-Rajhi dianggap sebagai salah satu daripada keluarga kaya yang BUKAN daripada keluarga diraja, dan mereka adalah antara dermawan terkemuka di dunia.
Walaupun Al-Rajhi adalah seorang jutawan, tetapi beliau memilih untuk menjadi ‘miskin’ sehinggakan beliau tidak mempunyai sebarang wang dan juga saham yang dimiliki beliau sebelum ini.
Keadaan tersebut terjadi apabila beliau memindahkan kesemua aset yang dimiliki kepada anak-anak beliau dan mendermakan aset-aset yang selebihnya.
Bagi menghargai jasa beliau terhadap dunia Islam, termasuk mengasaskan bank Islam terbesar dunia dan juga segala usaha yang dijalankan untuk membasmi kemiskinan, Al-Rajhi telah dipilih untuk menerima Anugerah Antarabangsa Raja Faisal atas jasa beliau kepada Islam.
Dalam satu wawancara yang dibuat oleh Muhammad Al-Harbi dari Al-Eqtisadiah Business Daily, Al-Rajhi menceritakan tentang bagaimana beliau mampu meyakinkan ketua-ketua bank di dunia, termasuk Bank of England, hampir 30 tahun lalu, bahawa bayaran ‘faedah’ adalah sesuatu yang haram bagi kedua-dua agama iaitu Islam dan Kristian, dan bank secara Islam adalah penyelesaian yang terbaik bagi menaikkan taraf ekonomi dunia
Kisah Al-Rajhi berkisarkan tentang bagaimana seseorang itu meraih kekayaan dari bawah.
Beliau terpaksa melalui kesusahan ketika beliau kecil sebelum menjadi kaya, dan kemudiannya meninggalkan segala harta yang ada setelah mengecapi kejayaan.
Al-Rajhi masih lagi aktif dalam bekerja walaupun usia beliau telah mencecah lebih daripada 80 tahun.
Beliau memulakan tugas harian sejurus selepas solat Subuh dan terus bekerja hingga selepas solat Isyak.
Beliau kini sedang memberikan tumpuan terhadap Yayasan SAAR, dengan berulang-alik di negara-negara Arab bagi menguruskan segala hal-hal yang berkaitan dengan yayasan tersebut.
Beliau sering membawa diari kecil untuk mencatatkan aktiviti harian beliau dan sentiasa memastikan tidak akan terlepas dari satu aktiviti pun.
Al-Rajhi juga merupakan seorang yang amat berjaya dalam apa jua bidang yang beliau ceburi.
Selain daripada mengusahakan bank Islam terbesar dunia, beliau juga telah mengasaskan ladang binatang ternakan yang terbesar di Timur Tengah.
Daripada segi perladangan, beliau telah menjalankan banyak eksperimen ternakan secara organik di negara-negara Arab, termasuk perladangan udang Al-Laith. Beliau juga turut mengasaskan perniagaan hartanah dan juga beberapa lagi pelaburan.

Temubual:
Sheikh Suleiman, adakah anda kini telah menjadi miskin semula?
Ya. Kini apa yang saya miliki hanyalah pakaian-pakaian saya. Saya telah membahagikan harta saya kepada anak-anak dan juga mendermakan selebihnya untuk menjalankan projek-projek amal. Ini bukanlah sesuatu yang aneh bagi saya. Kedudukan kewangan saya kini telah menjadi kosong sebanyak dua kali dalam hidup saya. Jadi, saya amat faham akan keadaan ini. Namun, kini perasaan itu dipenuhi dengan kegembiraan dan juga ketenangan. Sememangnya saya yang memilih untuk menjadi miskin.

Mengapa berbuat begitu?
Segala kekayaan dimiliki oleh Allah s.w.t, kita hanyalah ditugaskan untuk menjaga kekayaan tersebut. Ada beberapa sebab mengapa saya memilih untuk memilih jalan ini. Antara sebab-sebab utamanya adalah saya perlu menjaga sahabat-sahabat Islam dan juga anak-anak saya. Ia adalah antara perkara yang paling penting dalam hidup. Saya juga tidak suka untuk membuang masa di mahkamah hanya kerana ada antara mereka yang tidak bersetuju dengan jumlah harta yang diwariskan kepada mereka. Terdapat banyak contoh di mana anak-anak mula berpecah hanya kerana harta yang kemudiannya menghancurkan syarikat. Negara ini telah banyak kehilangan syarikat-syarikat besar kerana perbalahan harta yang boleh diselesaikan jika kita mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan. Selain daripada itu, setiap umat Islam perlu bersedekah sebagai bekalan pahala di akhirat kelak, Jadi, saya lebih suka jika anak-anak saya mencari kekayaan sendiri daripada bergantung dengan saya.

Adakah Sheikh mempunyai banyak masa terluang setelah membahagikan kesemua harta?
Seperti yang telah saya maklumkan tadi, saya masih lagi bekerja keras untuk mendapatkan lebih derma. Saya telah bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menjayakan projek ini. Secara kebiasaanya, umat Islam sering membahagikan satu per tiga ataupun suku daripada kekayaan mereka untuk bersedekah yang hanya akan diberikan setelah mereka meninggal dunia. Namun, bagi saya, saya mahu mula bersedekah ketika saya masih hidup. Jadi, saya telah membawa anak-anak saya ke Mekah pada hujung bulan Ramadhan dan memberitahu mereka idea saya. Mereka bersetuju terhadap idea tersebut. Saya telah meminta bantuan daripada agensi-agensi yang berkaitan untuk membahagikan kesemua harta saya termasuk saham dan juga hartanah kepada anak-anak dan juga untuk didermakan. Kesemua anak-anak saya berpuas hati terhadap inisiatif saya dan mereka kini sedang menguruskan segala harta yang saya berikan kepada mereka.

Berapa banyak harta yang dibahagikan kepada anak-anak dan juga untuk didermakan?
Beliau tergelak tanpa memberi sebarang jawapan.

Apakah perasaan Sheikh terhadap kesemua projek yang sedang dijalankan?
Saya ingin menegaskan bahawa terdapat beberapa faktor yang saya ambil sebelum melakukan sebarang pelaburan. Eksperimen yang saya lakukan terhadap pertukaran wang adalah salah satu daripada sebab mengapa saya mengasaskan bank. Ketiadaan bank Islam juga menjadi antara sebab mengapa saya mula mengasaskan Bank Al-Rajhi, yang kini merupakan bank Islam terbesar di dunia. 
Saya mulakan eksperimen saya dengan membuka pejabat di Britain dimana kami mula memperkenalkan sistem perbankan Islam ke peringkat yang lebih besar. Eksperimen tersebut kemudiannya mula berkembang dan ia mula mendapat sokongan daripada ulama-ulama Saudi pada ketika itu. Saya masih ingat lagi bagaimana permohonan saya untuk mendapatkan lesen untuk membuka bank tidak diterima pada mulanya. Ini adalah kerana pihak British tidak memahami apa-apa pun tentang sistem perbankan Islam. 
Saya kemudiannya pergi ke London dan berjumpa dengan Pengurus Bank of England dan dua daripada pegawai kanan beliau. Saya memberitahu mereka bahawa penggunaan faedah adalah haram bagi Islam dan juga Kristian dan kebanyakan daripada mereka sanggup menyimpan wang mereka di dalam kotak di rumah daripada menyimpan di dalam bank. Saya cuba untuk meyakinkan mereka bahawa (jika mereka mula membuka bank Islam) ini mampu menaikkan taraf ekonomi dunia. Mereka akhirnya bersetuju untuk mula membuka bank-bank Islam. 
Saya kemudiannya mula mengembara ke serata dunia di bahagian Timur dan Barat, dan berjumpa dengan ketua-ketua bank negara di beberapa buah negara dan memberitahu mereka bagaimana ciri-ciri yang terdapat dalam dunia ekonomi Islam. Kami mula bekerja dan mencapai kejayaan di negara-negara Arab dan melaksanakan perbankan Islam di London, saya kemudiannya berjumpa dengan Mufti Besar Sheikh Abdul Aziz bin Baz dan Sheikh Abdullah bin Humaid, dan memberitahu mereka tentang rancangan saya bahawa : ‘Kita mampu, dengan izin Allah, memajukan perbankan Islam. Mereka memuji saya atas inisiatif yang saya jalankan. 
Dari situlah kami mula mengusahakan Bank Al-Rajhi seperti mana yang anda dapat lihat hari ini. Bagi projek Ladang Ternakan Al-Watania pula, saya mula mendapat inspirasi untuk menjalankan projek tersebut apabila melawat ladang ternakan di luar negara. Saya dapati bahawa cara mereka menyembelih adalah salah. Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk melabur dalam bidang ternakan atas nama Islam dan negara. Saya tetap menjalankan projek tersebut walaupun membuat pelaburan dalam industri ternakan adalah sesuatu yang agak berisiko pada masa tersebut. Kini, Al-Watania telah menjadi salah satu daripada projek mega di Saudi. 
Syarikat tersebut mendapat 40 peratus daripada saham di negara-negara Arab, dan ayam-ayam Al-Watania diberikan makanan yang cukup dan disembelih dengan cara yang halal menurut undang-undang syariah.

Walaupun dengan semua kekayaan yang dimiliki, mengapa syeikh tidak mempunyai satu pun kapal terbang sendiri?
Saya ada banyak kapal terbang, tetapi kesemuanya dimiliki oleh syarikat-syarikat penerbangan tertentu. Saya memilikinya setiap kali saya membayar tiket penerbangan untuk ke satu-satu destinasi (gurauan). Saya sering terbang dengan kadar kelas ekonomi kerana Allah tidak memberikan kita harta untuk ditunjuk-tunjuk.

Bagaimana pula dengan hobi syeikh?
Saya tidak mempunyai sebarang hobi yang khusus. Bagaimanapun, saya suka mengembara di padang pasir. Saya tidak pernah mengambil pakej percutian di negara-negara lain selain dari Saudi.

Ketepatan masa Al-Rajhi
Wawancara ini telah menunjukkan bagaimana disiplin Al-Rajhi dalam menepati masa. “Pada awal karier saya dalam industri, saya mempunyai beberapa perjumpaan dengan beberapa syarikat besar di Eropah. Saya masih ingat lagi kisah dimana saya terlambat selama beberapa minit dalam satu perjumpaan dengan salah seorang pegawai besar sebuah syarikat. 
Walaupun hanya beberapa minit, beliau tidak mahu meneruskan perjumpaan tersebut. Selepas kejadian tersebut, setelah projek kami mula berkembang, pegawai yang sama pula lambat untuk berjumpa dengan saya, jadi, saya pula yang tidak mahu meneruskan perjumpaan tersebut. Saya sering membawa kertas untuk menulis segala perjumpaan dan urusan dan sentiasa memastikan agar saya sering menepati masa walau apa pun.”
Al-Rajhi berkata lagi: Saya amat menepati segala perkara yang diterapkan dalam Islam sepanjang hidup saya. Saya pernah mendapat undangan daripada kerajaan Arab untuk menghadiri satu persidangan yang berkaitan dengan pelaburan. Kemudiannya, dalam persidangan yang sama, saya dijemput untuk mengambil bahagian dalam majlis makan malam mereka, saya dapati bahawa antara aktiviti yang dijalankan ketika majlis tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam. 
Saya kemudiannya keluar dari majlis makan malam tersebut. Kemudian, Abdul Aziz Al-Ghorair dari UAE turut serta bersama saya. Tidak lama selepas itu, menteri yang bertanggungjawab terhadap persidangan tersebut datang kepada kami dan kami mula menerangkan kepada beliau bahawa aktiviti yang dijalankan di majlis tersebut adalah bertentangan dengan budaya Islam. Beliau kemudiannya berkata bahawa aktiviti-aktiviti di majlis tersebut akan dibatalkan. Apabila mereka membatalkan aktiviti tersebut, kami kembali menyertai majlis tersebut.

Penyelesaian Masalah
Al-Rajhi berkata: Pada satu masa, salah satu daripada kilang yang diuruskan oleh anak saya habis dijilat api. Apabila dia datang untuk memaklumkan perkara tersebut kepada saya, saya memberitahu: Sebut Alhamdulillah. Saya meminta anak saya supaya tidak membuat sebarang laporan tentang kerugian yang dialami bagi meminta pampasan daripada pihak berkuasa. 
Sebaliknya, pampasan yang diberikan oleh Allah adalah lebih penting bagi kita. Assam Al-Hodaithy, Pengurus Kewangan bagi syarikat Ternakan Al-Watania berkata: “Apabila kilang tersebut terbakar, kami telah membuat keputusan untuk tidak menyakiti hati Al-Rajhi dengan memberitahu beliau tentang apa yang terjadi. 
Kami kemudiannya berjumpa dengan beliau keesokan harinya dan memberitahu akan perkara yang terjadi, beliau mengarahkan kami untuk berpindah ke tempat lain dan membersihkan segala kerosakan sehingga semuanya dibaiki.” Perkara yang sama terjadi di satu lagi projek Al-Watania di Mesir. Syarikat tersebut kerugian kira-kira SR10 juta Pound Mesir. 
Apabila pegawai projek tersebut menghubungi Al-Rajhi untuk memberitahu perkara tersebut, beliau terkejut apabila Al-Rajhi menjawab dengan menyebut: “Alhamdulillah.”

Sunday, June 3, 2012

Tazkirah : Bertakbirlah dengan nada lembut kerana Takutkan Allah...



Sama-samalah kita renung-renungkan diri kita... Tazkirah dan ingatan yang baik disampaikan oleh Ustaz Idris Sulaiman.
Satu lagi, sejuk je hati tengok Ustaz ni... Kan..kan...kan?

Tuesday, May 29, 2012

CUTE! Itulah sikap lelaki...

Cute kan baby 2 orang ni... Terjumpa rakaman youtube ni masa explore blog sorang teman. Terus ambik and masuk kat dlm blog nih. Maklumlah lama tak update... So, kawan2 semua, hope u guys enjoy ye dengan entry kali ni... Tapi betul jugakkannn.. LELAKI NI MEMANG TAK AKAN PUTUS ASA especially dalam bab2 usha mengusha ni... hehehe

Tuesday, April 3, 2012

Bertuahnya Ibu Yang Mengandung....

Baru-baru ini terbaca dari artikel seorang rakan di facebook tentang Kemuliaan Ibu Mengandung. Teringin menjadi salah seorang yang betuah mendapat pahala-pahala yang amat besar dari Allah swt itu. Bersyukurlah mereka-mereka yang diberi peluang oleh Allah mendapat pahala tersebut. Namun, apa yang penting ikhlas menerima anugerah Allah itu. Jangan merungut, mengeluh dan sabar menghadapi segala macam kepayahan yang terpaksa dialami dari awal mengandung hinggalah saat melahirkan kerana dari keperitan dan kepayahan itulah sebenarnya tersimpan hikmah yang tidak ternilai. Kepada semua pembaca, doakan saya menjadi salah seorang insan pilihan Allah untuk turut sama mengecap dan memperolehi semua pahala-pahala itu ye.... thanks!
So, mari kita sama-sama hayati keindahan dan kemuliaan seorang ibu mengandung...
1. Dua rakaat solat wanita yg hamil lebih baik dari 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

2. Wanita yg hamil mendapat pahala puasa disiang hari & pahala ibadat dimalam hari.

3. Wanita yg bersalin mendapat pahala 70 tahun solat & puasa serta setiap kesakitan pada satu uratnya, Allah memberi satu pahala haji.

4. Sekiranya wanita meninggal dunia pada masa 40 hari selepas bersalin, semasa bersalin, ia dikira sebagai mati syahid.

5. Wanita yg beri minum susu badannya kepada anaknya akan mendapat 1 pahala daripada tiap titik susu yg diberikannya.

6. Wanita yg memberi minum susu badan kepada anaknya yg menangis maka Allah memberi pahala satu tahun pahala solat & puasa.

7. Jika wanita menyusui anaknya hingga cukup tempoh 2 setengah tahun, maka malaikat dilangit khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

8. Seorang ibu yg menghabiskan masa malamnya dengan tidur yg tidak selesa kerana menjaga anaknya yg sakit mendapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.

9. Wanita yg tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anaknya yg sakit akan di ampunkan oleh Allah dosanya dan bila dia hiburkan hati anaknya Allah menberi 12 tahun pahala ibadat. 
Alhamdulillah.... Seronokkan jadi ibu mengandung?

Saturday, March 31, 2012

Subhanallah... Kanak-kanak 5 tahun jadi imam

     Sangat-sangat kagum dengan kanak-kanak ini. Rasa betapa kecilnya diri ini. Bayangkan kanak-kanak yang berusia 5 tahun ini mampu menghafal surah-surah dalam Al-Quran dengan lancar sekali dan mampu menjadi imam kepada makmum yang jauh lebih dewasa daripadanya.... Sungguh menginsafkan diri saya. Dengarkanlah bacaan Al-Quran kanak-kanak ini. Moga saya dikurniakan anak-anak yang soleh seperti ini. Sejuk perut ibu mengandung...


Pukul Berapa Dah?